Tarikh ini......hari yang sama, Jumaat 6 bulan yang lalu,iaitu 1hb Februari menjadi satu tarikh yang tidak akan mungkin kami lupakan sampai bila-bila, hatta mengingatkannye saja cukup menyesakkan dada. Harapan yang kami pegang teguh untuk menyaksikan ayah membuka mata buat kali pertama selepas melalui pembedahan pintasan jantung 3 hari yang sudah membawa kepada penantian yang tidak berpenghujung. Pada tarikh itu, ayah pergi meninggalkan kami mengadap Penciptanya, yang Maha Esa. Kami Redha, jika memang ditakdirkan itu bukan pilihan yang kami ada. Sesungguhnya tidak akan sesaat awal mahupun terlewat.
Tatkala pilihan sama ada untuk membiarkan ayah terus bertahan dengan segala jenis bantuan mesin pernafasan dan jangkahayat yang melengahkan perpisahan itu, atau kami dengan rela hati dan tawadhuk memberi persetujuan untuk membenarkan pihak hospital menghentikan segala bantuan ke atas tubuh kaku ayah di katil wad ICU, Institut Jantung Negara malam itu. Usai perbincangan, kami anak beranak, dengan berat hati dan keterpaksaan, memberi persetujuan agar ayah tidak terus terseksa. Tiada apa yang dapat kami hulurkan buat kali terakhir untuk ayah tercinta satu-satunya, selain doa dan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang tidak putus-putus.....kecuali keputusan yang satu ini malah hakikatnya disaat itu, inilah yang terbaik untuknya. Situasi yang paling tidak disangkakan, malah yang paling kami semua elakkan.....jangankan menyebutnya, memikirkan pun tidak sama sekali.
Kira ditanya, sesungguhnya hakikat ini memang teramat sukar untuk diterima, walaupun dengan keadaan ayah yang sangat lemah dan menahan kesakitan sekian lama sebelum bersetuju dengan pembedahan itu, dimata kami semua kelihatan ayah tabah dan kuat melaluinya.....kami menjangkakan ayah mampu melepasi situasi kronik di IC itu, setabah dia melalui 6 jam tempoh pembedahan sebelumnya....tapi kita hanya merancang dan mengharap, Allah swt sahaja yang mengetahui segala apa yang terbaik untuk umatNya.
Hari ini, dengan kekuatan dan kesihatan baik yang Allah berikan, dengan izinnya, hanya pusara Ayah yang sedaya upaya mungkin kami kunjungi setiap minggu, demi mengusaikan rindu pada Ayah yang sarat bersarang dihati dan tidak mungkin akan pernah padam.....selama-lamanya. Tidak ada sebarang nilai hatta sebesar zarah sekalipun kini, segala apa yang tidak sempat dikongsikan bersama ayah semasa hayatnya selain doa yang InsyaAllah akan sentiasa kami panjatkan buat ayah selagi hayat dikandung badan. Hanya itu saja bekalan daripada setiap anak-anak yang bermakna buat Ayah kini atas pengorbanan membesarkan kami selama ini. Tidak akan ada lagi bualan, tidak mungkin akan ada lagi tempat kami mengadu masalah, berkongsi pendapat dan cerita dari insan yang kami panggil Ayah selama ini. Hanya Emak disisi... yang juga tidak terselam keperitan, kesunyian dan kesedihan yang bersarang dihatinya, tinggallah dia bentuk amanah yang Ayah tinggalkan untuk kami 4 beradik melaksanakan tanggungjawab seperti ayah menjaganya selama ini. Terasa sempit dunia dirasa, kerana yang dirindu tidak akan pernah boleh muncul lagi.
Ya Allah, semoga Kau mencucuri Rahmat ke atas roh ayah, dan menempatkan ayah di kalangan hamba-hambaMu yang beriman......Amin. AL-FATIHAH
"Ayah....you'll always on my mind.....the memories of every moment that we've gone thru together will always change to be your shadow.....forever"
No comments:
Post a Comment